5 Resepi Kari Ayam Terlajak Sedap
Sekilas Tentang Kari Ayam
Kari ayam merupakan hidangan yang berasal dari benua kecil India. Kari di Malaysia biasanya menggunakan serbuk kari yang kaya dengan kunyit, santan, bawang merah, halia, belacan, cili, dan bawang putih, termasuklah asam jawa.
Throwback Tentang Kari Ayam
Sebut pasal kari ayam ni kan, Nur teringat suatu ketika dahulu semasa Nur di alam persekolahan, Nur tak berapa gemar makan kari ataupun apa-apa masakan bersantan. Tiap kali selak tudung saji dan menunya adalah kari, Nur akan rasa sedikit kecewa. Allahuakbar tak reti bersyukur kan? Mak dah masak penat-penat, kita rasa kecewa pulak.
Tapi sejak Nur dah berkahwin 6 tahun lalu, tekak Nur baru suka makan kari. Nak tahu sebab apa? Rupa-rupanya Nur sukakan kari ayam yang kuahnya tak begitu pekat dan semestinya kena berasa pedasnya. Ciri masakan kari begini adalah kesukaan suami Nur, dan rupa-rupanya kami sefrekuensi tentang kari ayam dan beberapa jenis masakan yang lain.
Biasalah kan, lain orang lain lidahnya, lain citarasanya. Begitu juga dengan masakan kari, ada pelbagai cara masakan. Jadi untuk entry kali ini Nur akan kongsikan 5 resepi kari ayam yang sedikit berbeza cara masakannya dan sedikit berbeza dari segi rasanya. Tapi pokok pangkalnya, ianya tetaplah kari ayam yang menjadi kegemaran setiap lapisan masyarakat Malaysia.
5 Resepi Kari Ayam Terlajak Sedap
#1 Kari Ayam Simple
Resepi yang ni adalah kesukaan Nur. Mudah tapi in shaa Allah sedap kejadiannya. Untuk mereka yang baru nak belajar masak memang sesuai ikut resepi ni. Bahan yang diperlukan pun tak banyak dan tak renyah cara masakanya.
Bahan yang diperlukan:
Ayam
Rempah kari ayam/daging (Nur suka gunakan brand Adabi)
4 sekawan (kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, bunga cengkih)
1/2 labu bawang besar*
6 ulas bawang putih*
2 inci halia*
2 SB lada kering yang sudah dikisar
2 biji kentang belah 4
2 tangkai daun kari
1/2 SK pes asam jawa
Santan secukupnya
Garam & gula secukupnya
Cara masakan:
- Hiris halus bahan bertanda *
- Panaskan minyak, tumis 4 sekawan dan bahan hirisan tadi. Nur suka tumis sehingga bawang bertukar warna kuning-cokelat keemasan.
- Kemudian, masukkan lada kering dan rempah kari dalam anggaran 10 sudu besar. Tumis kesemua bahan seketika kemudian masukkan sedikit air supaya rempah cair. Masak rempah sehingga sedikit garing dan terbit minyak.
- Seterusnya, masukkan ayam, kentang dan daun kari. Gaul rata dan masak sekejap sehingga ayam separuh masak.
- Masukkan air dalam anggaran 1 cawan. Masak sehingga mendidih dan kentang sudah mula lembut. Boleh cuba letakkan sudu pada kentang untuk pastikan kentang dah mula lembut/empuk.
- Masukkan santan sedikit demi sedikit dan kacau rata. Jangan lupa masukkan pes asam jawa, garam dan gula secukupnya. Renehkan dengan api sederhana sehingga kentang cukup empuk dan ayam cukup masak.
- Sesuaikan kepekatan kuah kari mengikut citarasa sendiri. Jika kuah terlebih pekat boleh tambah air panas. Jika kurang menyengat rasa kari boleh tambahkan sedikit rempah kari. Jika sukakan kuah yang pekat boleh tambah lagi santan.
Senang je kan nak masak kari ayam simple? Kalau dekat rumah Nur ni, regu dia mestilah ayam goreng kunyit dan sayur kubis goreng. Macam yang Nur cakap di awal cerita, Nur sukakan kari yang tidak terlalu pekat dan berasa pedasnya. Barulah berselera makan dengan nasi panas.
#2 Kari Ayam Bangladesh
Sumber Haslinda Hashim |
Bahan yang diperlukan:
Ayam
2 biji bawang besar (1 kisar 1 hiris)
4 ulas bawang putih
5 tangkai cili padi
2 tangkai lada besar merah
1 inci halia
1 sb jintan putih
2 batang kayu manis
4 biji pelaga
1 sb serbuk kari daging
1/2 sb serbuk kunyit
1/4 cawan minyak masak
1/2 sb garam
1 cawan air
2 biji kentang dibelah 4
Bendi & tomato (optional)
Cara masakan:
- Hiris nipis 1 biji bawang besar. Kisar 1 biji bawang besar, bawang putih, halia, cili padi dan cili merah.
- Kemudian, tanpa menghidupkan api, masukkan semua bahan ke dalam kuali yang sesuai. Gaul rata semua bahan.
- Tutup kuali dan masak dengan api sederhana sehingga mendidih, kentang cukup empuk dan terbit minyak. Kacau jika perlu untuk mengelakkan berkerak atau masak tidak rata.
- Jika kuah terlebih pekat boleh tambah air panas dan perasakan kari secukupnya mengikut citarasa sendiri.
- Jika tidak mahu bendi dan tomato terlebih masak, disarankan jangan masuk awal ya. Di akhir memasak baru masukkan.
Menurut Nur, kari ayam Bangladesh mudah untuk disediakan cuma kena tambah serbuk jintan manis dalam koleksi rempah didapur. Maklumlah dekat dapur Nur ni ada bahan basic aje.
Buat mereka yang tak tahan makan pedas boleh kurangkan cili padi dan tambahkan lada besar. Atau taknak letak cili padi langsung pun boleh. Atau kalau nak letak juga, tak perlu kisar cili padi tu. Letak aje sebiji-sebiji dalam kuali di akhir masakan.
#3 Kari Ayam Mamak
Sumber Hajar Mohd |
Nak lagi resepi kari ayam tanpa santan? Meh follow resepi yang ni pulak. Ada 3 bahagian utama bahan yang diperlukan. Bahan tumis tanpa kisar, bahan kisar dan juga pes kari. Ok let's go!
Bahan yang diperlukan:
Ayam
Kentang belah 4
Bahan tumis tanpa kisar:
3 tangkai daun kari
Sebiji bawang besar
Sejemput cili kering
4 sekawan
1 batang serai
1 SB jintan manis
Bahan kisar:
Halia sebesar ibu jari
5 ulas bawang putih
1 batang serai
1 labu bawang besar
1 biji tomato
Pes kari:
2 SB rempah kari ayam
1 SB rempah kari ikan
1 SB serbuk kunyit
2 SB serbuk cili
Cara masakan:
- Hiris nipis bawang besar, ketuk serai dan potong pendek lada kering. Untuk pes kari, masukkan air dan kacau sehingga menjadi pes.
- Panaskan minyak dan tumiskan dahulu bahan tumis tanpa kisar sehingga sedikit garing.
- Kemudian, masukkan bahan kisar dan tumis lagi sehingga terbit minyak.
- Masukkan pula pes kari dan tumis lagi sehingga garing dan terbit minyak dengan menggunakan api sederhana. Makesure rempah tak hangit ya.
- Seterusnya, masukkan ayam, kentang dan sedikit air. Gaul rata, kemudian tutup periuk.
- Sekali sekala kena tengok supaya tak hangit ayam kita. Nampak dah nak kering tu bolehlah tambah air panas. Biarkan masak dengan sempurna dan perasakan dengan garam dan bahan perasa yang disukai.
- Tutup api bila kentang dah cukup empuk. Siap dah kari ayam mamak tanpa menggunakan santan.
Tips dari kenalan Nur yang berasal dari Penang, katanya kalau nak dapat rasa kari yang kaw, gunakan rempah kari brand Baba's. Katanya rempah kari brand lain tak se'kick' Babas. So buat penggemar kari tanpa santan, boleh cuba resepi ni okay.
#4 Kari Ayam Kapitan
Sumber Liza Idris |
Dekat dapur takde rempah kari? Haaaa jangan risau. Cuba masak kari ayam kapitan pulak. Katanya resepi ni merupakan masakan peranakan Baba Nyonya. Tapi kalau nak cuba resepi ni, wajib ada serai dan daun limau untuk membangkitkan rasa dan baunya yang wangi dan menyelerakan.
Baca juga: Biji ketumbar
Bahan yang diperlukan:
Ayam
Serbuk kunyit
1 biji bawang besar*
5 ulas bawang putih*
1 inci halia*
1 inci lengkuas*
3 batang serai*
6 helai daun limau purut*
2 tangkai daun dan akar ketumbar*
3 - 4 SB lada kisar
1/4 santan kotak kecil
Cara masakan:
- Gaul ayam bersama garam dan serbuk kunyit. Gorengkan dia tapi tak perlu terlalu garing.
- Kisar bahan bertanda *.
- Panaskan minyak, masuk bahan kisar tadi. Tumis sampai naik bau.
- Masukkan pula lada kisar dan tumis sehingga pecah minyak.
- Masukkan ayam goreng tadi dan kacau sebati.
- Letak air asam jawa anggaran 2 ke 3 sudu. Kacau dan kacau lagi.
- Masukkan santan dan kacau rata. Kemudian masukkan pula 1 cawan air. Kacau hingga mesra
- Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Matikan api bila semunya sudah cukup masak.
Nampak sedap kan kari ayam kapitan ni? Sejujurnya Nur belum cuba masak lagi. Next time Nur boleh masak guna resepi ni. Minggu depan ke bulan depan ke. Haha bukan apa, baru je haritu Nur masak kari.
#5 Kari Ayam Kerisik
Ada orang kata kari ayam letak kerisik ni style orang Kedah. Tapi depa tak panggil kari. Depa panggil gulai. Mak Nur anak jati Johor pun masak kari letak kerisik juga. Anak dia je tak follow. Tapi apa-apa pun, ramai yang bersetuju bahawasanya kari ayam akan bertambah sedap jika ditambah kerisik. Korang setuju?
Bahan yang diperlukan:
Ayam
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
3 inci halia*
1 inci kunyit hidup*
2 sudu besar rempah kari ayam*
1 sudu besar rempah kari ikan*
2 SB lada kisar
Bahan tumis :
5 biji bawang merah saiz kecil di mayang halus
5 ulas bawang putih di mayang halus
2 batang kayu manis
5 kuntum bunga lawang
2 batang serai di titik
Bahan lain
Kentang potong 4
1 paket kecil kerisik
1 keping asam keping
1 kotak kecik santan kara
Air secukupnya
Garam secukup rasa
Cara masakan:
- Kisar bahan bertanda *.
- Panaskan minyak dan tumis bahan tumis hingga naik bau
- Masukkan bahan kisar dan tumis hingga rempah garing & pecah minyak.
- Masukkan pula ayam, kentang, asam keping, sedikit air (sukatan air terendam semua bahan)
- Tutup periuk untuk didihkan ayam dan kentang hingga separuh masak.
- Masukkan garam secukup rasa dan didihkan lagi hingga ayam dan kentang lembut dan empuk.
- Masukkan santan dan kerisik di cairkan dengan kuah kari. Kacau sehingga sebati dan didihkan sebentar.
- Masukkan cili (optional) gaul sebati, tutup api dan periuk. Biar mesra sebentar, siap dah kari ayam kerisik yang sedap dan menyelerakan.
Haaa macam ni laa cara mak Nur masak kari. Kuahnya pekat dan berlemak. Tapi mak Nur kalau masak, versi tak berapa pedas. Pedas terlebih manja gitu sebab mak dan adik-adik Nur tak makan pedas. Tapi ayah makan pedas, makanya mak akan buatkan ayah sambal belacan. Macam tula caranya kalau nak menangkan selera semua orang.
Rempah Kari yang Popular dan Menjadi Pilihan Ramai
Cerita pasal kari kan, Nur saje lah tanya soalan dekat group Masak Apa Hari Ni (MAHN) tentang rempah kari apa yang sedap dan popular. Setakat 17 jam soalan tu di post, berikut merupakan Top 5 jenama kari yang menjadi pilihan ramai:
- Baba's
- Cap O
- Adabi
- Faiza
- Mak Siti
Sungguh Nur tak sangka Baba's merupakan rempah kari paling digemari ramai. Nur selama ni gunakan jenama Adabi saje. Malah Nur tak sangka wujud jenama kari Cap O dan menjadi rempah kari kedua popular dalam kalangan orang kita.
Paling Nur tak sangka, banyak lagi jenama rempah kari yang Nur tak pernah dengar dan ada di pasaran. Contohnya jenama Alagapas, Sabihah, Penangkap Ikan, Tarbus, Cap Orang Terbang, Wau Tradisi, Aween, Hang Tuah, Arun, 888, Cap Mata, Motokar, Rahman's, Peladang, Mak Aji, Selising Kelantan, Syarifah, Cap Burung Nuri, Cap Bunga Rose, Cap Jam dan PRAN.
Tips Kari Ayam Sedap
Dalam post dekat group MAHN juga ada beberapa orang share tips untuk mendapatkan kari ayam yang sedap. Rugilah kalau Nur tak share disini kan? Benda baik kita kena kongsi untuk rujukan kita bersama. Tipsnya adalah:
- Sebelum masukkan ayam, tumis bahan sehingga sedikit garing. Tapi jangan sampai hangus pulak. Jadinya untuk mengelakkan kejadian rempah hangus, tumis bahan dengan api sederhana ya.
- Campurkan rempah kari ayam/daging bersama rempah kari ikan. Boleh campur jenama. Contohnya jenama Baba's dan Faiza.
- Tambahkan sedikit serbuk ketumbar untuk mendapatkan rasa kari yang lebih sedap. Wow boleh cuba!
- Cincang tomato dan masukkan semasa sedang menumis bawang.
Akhir Kata
Sekian perkongsian Nur tentang 5 resepi kari ayam yang boleh kita cuba untuk pelbagaikan cara masakan kita di dapur. Moga bermanfaat untuk mereka yang mencari cara lain untuk masak kari ayam. Mana tahu dah boring guna cara yang sama je kan? Sesekali kita kita cuba cara lain apa salahnya.
Baiklah, kita jumpa di lain resepi ya. Assalamualaikum:)
6 Comments
nampak semua tu sedap. uish esok masak kari la hehe
ReplyDeleteNak masak yg mana 1 tu??
Deletealamakk, semua nampak sedap eakkk
ReplyDeleteKan syu. Yg menaip ni pun sama. Geram je tengok
DeleteKari favourite husband, lagi-lagi kalau ada roti jala memang hadap tu je haha
ReplyDeleteSedap tu cicah roti jala. Tapi nur jarang betul buat haha
Delete